Sunday, May 3, 2009

AIM 16 sekadar 'Indah Khabar Daripada Rupa'

Keputusan siapa yang memenangi Lagu Terbaik dan Album Terbaik AIM 16 sudah diketahui. Namun di sebalik anugerah yang diwar-warkan sebagai anugerah paling berprestij ini, sebenarnya hanya 'indah khabar daripada rupa'.

Bagi penulis, yang paling ketara mengapa anugerah kali ini tidak segah namanya adalah apabila pihak penganjuran banyak menambah dan menukar kategori. Tidak salah apabila pihak penganjur ingin menukar dan menambah kategori, tapi biarlah yang bersesuaian. Penganjuran kali ini dilihat lebih mengutamakan lagu-lagu single, dan bukannya album. Ternyata 'niat' pihak penganjur itu bakal menyebabkan banyak artis kita yang selepas ini akan mengeluarkan single, dan bukannya album.

Kategori yang tidak sepatutnya ditukar adalah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album yang telah ditukar kepada Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu. Kategori ini sepatutnya menilai vokal seseorang artis itu dalam kesemua lagu di dalam album, dan bukannya dalam sebuah lagu semata-mata. AIM adalah anugerah bagi menilai keseluruhan prestasi seseorang artis itu menerusi lagu dan album. Apabila seseorang artis menghasilkan album, itu bermakna artis itu komited dengan kerjayanya. Tidak dengan hanya bersandarkan lagu single sahaja, yang semata-mata mahu menunjukkan kepada masyarakat yang seseorang artis itu masih lagi wujud. Namun, selepas seketika, diam menyepi tanpa khabar berita.

Industri muzik kita sebenarnya kecil dan kita mahukan artis-artis yang benar-benar komited dengan kerjaya sebagai penyanyi. Bukan dengan menghasilkan satu lagu single, menang anugerah kemudian sepi tanpa sebarang berita. Penulis rasakan dengan membenarkan lagu single bertanding tanpa album, bakal menggalakkan artis kita untuk tidak menghasilkan album, tetapi lebih kepada lagu-lagu single sahaja.

Penganjuran AIM kali ini dilihat secara keseluruhannya adalah tidak berjaya sama sekali. Baik dari segi pengacaraan, pentas, persembahan malahan anugerah itu sendiri. Ketiga-tiga pengacara iaitu Afdlin Shauki, Adibah Noor dan Bob Lokman dilihat tidak berjaya menjadikan AIM kali ini berprestij, malah menjadikannya penganjuran anugerah paling teruk pada tahun 2009 setakat ini. Dengan menampilkan jenaka yang 'klise' dan kosong, serta langsung tidak menjaga kualiti AIM itu sendiri, pengacara patut ditukar untuk penganjuran AIM pada tahun depan. Lawak yang dibuat oleh pengacara langsung tidak kelakar dan seolah-olah dibuat. Host untuk program Blue Carpet (Naz, Sazzy Falak dan Awak Ashaari) juga tidak mencerminkan begitu prestijnya AIM kali ini. Dengan ketidaklancaran (yang tidak sepatutnya berlaku kepada host yang berpengalaman) oleh host kali ini, dilihat seolah-olah ketiga-tiga mereka ini tidak membuat 'homework' dan sebarang persediaan.

Melihat kepada persembahan pula, rata-rata persembahan yang ditampilkan adalah biasa-biasa sahaja dan membosankan. Bermula dengan persembahan oleh M.Nasir menerusi lagu dikir barat, begitu membosankan untuk sebuah persembahan pembukaan. Alunan merdu suara M. Nasir memang tidak dipertikaikan, namun apabila melihat kepada keseluruhan persembahan itu, tiada apa yang boleh dibanggakan. Tidak seperti persembahan pembukaan AIM 15 tahun lepas yang menampilan Faizal Tahir, AIM kali ini dilihat tidak begitu gah dengan namanya. Penulis percaya pihak penganjur ingin menampilkan elemen tradisional dan pop etnik pada persembahan pembukaan kali ini, namun sebenarnya banyak lagi persembahan yang boleh dibuat yang boleh menjadikan ianya lebih menarik. Dikir barat boleh diolah lebih baik seperti yang dilakukan oleh Dato' Siti Nurhaliza menerusi lagu Nirmala dalam Anugerah Juara Lagu, yang menjadikan dikir barat itu menjadi lebih menarik. Namun, itu gagal dilakukan oleh phak penganjur kali ini. Minta maaflah tapi itulah sebenarnya realiti yang patut diambil iktibar oleh pihak penganjur.

Persembahan kedua oleh Misha Omar menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa tenyata seperti persembahan yang biasa sahaja. Begitu juga dengan penampilan Dato' Sheila Majid menerusi lagu Lagenda dilihat terlalu 'klise' dan sudah banyak persembahan seperti itu yang pernah dipersembahkan oleh Dato' Sheila Majid. Kita mencari kelainan bagi sesebuah persembahan, namun ianya tidak dilaksanakan dengan baik oleh Dato' Sheila Majid. Mungkin persembahan daripada Faizal Tahir dan Rossa, Man Jiang Hong, Kumpulan Chakra Sonic dan Joe Flizzow sedikit sebanyak menyelamatkan persembahan AIM kali ini. Penampilan 5 artis muda tanah air iaitu Nikki, Dina, Ayu, Alyah dan Shila juga boleh dikritik hebat dan amat membosankan sama sekali. Persembahan itu seolah-olah hampir menyamai persembahan yang pernah dilakukan oleh 5 artis hebat tanah air di dalam AIM 2004 yang telah disampaikan oleh Dato' Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Sarah, Ning Baizura dan Misha Omar menerusi lagu Segalanya, namun persembahan kali ini dilihat tidak dapat menyamai persembahan pada AIM 2004 itu. Persembahan oleh kelima-lima artis muda ini dilihat tidak menampilkan persembahan yang bersama-sama, malah lebih untuk membuktikan siapa yang lebih hebat. Dina dan Nikki telah menenggelamkan Ayu, Alyah dan Shila, dan mereka berlima sebenarnya tidak membuktikan apa-apa pun kehebatan mereka kepada industri muzik kita.

Di sebalik kritikan ini, penulis amat berpuas hati dan gembira dengan kehadiran artis-artis indie bagi memeriahkan lagi industri muzik kita. Persembahan penutup oleh Hujan dan Meet Uncle Hussein wajar diberi pujian.

No comments:

Post a Comment