Saturday, April 25, 2009

Konsert Dato' Siti Nurhaliza di Istana Budaya




TANPA disedari, perjalanan seni figura terkenal bernama Dato' Siti Nurhaliza Tarudin sudah pun mencecah usia 14 tahun, 1 April lalu. Bagi seorang anak seni seperti Siti, berkemampuan untuk bertahan dalam bidang ini sepanjang tempoh itu adalah satu kejayaan manis buat dirinya.


Bukan mudah untuk berada di tempat di mana Siti berada ketika ini. Pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka, asam garam terpaksa ditempuhi penyanyi berdagu lekuk ini sebelum mengecap kejayaan dan populariti yang sehingga kini masih belum pudar.


Justeru, sempena ulang tahun ke-14 pembabitannya dalam bidang seni, Siti ada cara tersendiri untuk meraikan dan berkongsi kegembiraannya itu. Sekian lama menyimpan hasrat, Siti berkata dia begitu teringin untuk mengadakan konsert amal.


Dan jelas si pelantun Di Taman Teman ini, konsert yang akan dijayakan di Istana Budaya pada Jun depan ini, adalah hadiah daripada hatinya, khusus untuk mereka yang sebelum ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.


“Sebelum ini bukan Siti tak pernah ada konsert sendiri di Istana Budaya tetapi selalunya konsert itu Siti nyanyi lagu orang lain dan tidak sepenuhnya lagu Siti. Jadi untuk konsert yang akan datang ini, Siti akan nyanyikan lagi Siti sendiri sepenuhnya.


“Mengenai konsep, Siti masih belum memikirkannya lagi tapi apa yang boleh Siti ceritakan adalah Siti mahu konsert itu nanti mempunyai elemen seperti konsert Celine Dion di Las Vegas dan juga sewaktu saya mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, empat tahun lalu. Siti amat tertarik dengan konsert itu kerana ia bukanlah sekadar nyanyian semata-mata. Ia adalah persembahan gabungan antara bunyi dan visual.

“Pun begitu, bukanlah bermakna saya meniru keseluruhan konsep persembahan Celine Dion. Konsert ini masih lagi mengikut acuan yang saya mahukan. Lagipun saya sedar untuk membuat konsert seperti itu pastinya memerlukan kos yang agak tinggi.


“Apapun masih terlalu awal untuk Siti menjelaskan lanjut mengenai konsert itu. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Siti sudah pun menghantar kertas kerja kepada pihak Istana Budaya. Kita tunggu saja nanti bagaimana perkembangannya,” ujar Siti ketika ditemui pada sidang media Secretaries’ Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tegas Siti apa yang lebih penting ketika ini adalah dia perlu mencari seberapa banyak penaja supaya konsert itu dapat direalisasikan.


“Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa. Jadi saya harap selepas ini adalah pihak korporat dan swasta yang sudi untuk menaja konsert ini,” tutur Siti sambil mengharapkan konsert itu nanti akan menjadi kenangan paling manis buat semua peminatnya.


Sempena menyambut ulang tahun kerjaya seninya yang ke-15 tahun depan, penyanyi ini juga akan muncul dengan sebuah buku biografi bergambar yang akan menyiarkan foto menarik dan eksklusif sepanjang Siti bergelar anak seni.






1 comment: